Selamat Mungunjungi Blog Ini

Sunday 24 August 2014

LARAS BAHASA

                                                LARAS BAHASA
 * KONSEP LARAS BAHASA


  1. Nik Safiyah Karim (1988) menyatakan bahawa laras bahasa dapat dijelaskan sebagai gaya dan penggunaan sesuatu bahasa. Gaya merujuk kepada kelisanan dan penulisan, manakala penggunaan merujuk kepada penutur, pendengar, situasi, topic, dan tujuan perbincangan.
  2. Halliday (1968) mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi. Menurut beliau lagi, laras bahasa berubah-ubah mengikut situasi.
  3. Laras bahasa merupakan satu konvensi sosial. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu. Seseorang pengguna bahasa menggunakan laras bahasa yang berbeza-beza bagi situasi yang berlainan, mengikut kesesuaiannya.
  4. Jumlah laras seseorang itu menggambarkan keseluruhan pengalaman bahasanya dan peranan yang dimainkan olehnya dalam masyarakat. Semakin besar jumlah peranannya, maka semakin besar jumlah laras bahasa yang digunakannya.
  5. Ferguson (1968) sewaktu membincangkan ciri-ciri bahasa yang telah maju mengatakan bahawa salah satu ukuran bagi menentukan taraf kemajuan adalah dengan merujuk kepada laras bahasa yang wujud dalam bahasa berkenaan.

* JENIS DAN CIRI LARAS BAHASA

~ Laras bahasa dapat dilihat daripada dua ciri utama, iaitu :

a) Ciri-ciri keperihalan sesuatu peristiwa bahasa yang merangkumi situasi luaran dan situasi persekitaran sesuatu masyarakat  bahasa.

 
SITUASI LUARAN
SITUASI PERSEKITARAN
  • Merujuk kepada latar belakang social dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa.
  • Meliputi struktur dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan anggota masyarakat.
  • Contoh : huraian tentang laras agama hendaklah mengambil kira bentuk lafaznya, teknik lafaznya, dan latar belakang khalayak yang mendengar ceramah agama berkenaan.
  • Merujuk kepada aspek-aspek yang terlibat secara langsung dengan penggunaan bahasa.
  • Empat situasi persekitaran yang ketara ialah :
  1. Cara penyampaian
  2. Hubungan social dan peribadi antara pengguna bahasa.
  3. Bahan yang diperkatakan
  4. Fungsi-fungsi social perlakuan bahasa.

b) Ciri-ciri linguistic yang berkaitan dengan situasi dalaman teks tersebut iaitu aspek bunyinya, aspek perkataannya, aspek frasanya, dan aspek ayatnya.

ASPEK BUNYI
  • Penggunaan sesuatu laras berkaitan dengan nada suara, terutama yang melibatkan laras berbentuk lisan seperti laras agama.
ASPEK PERKATAAN
  • Sesuatu laras dikenali melalui kosa katanya seperti laras undang-undang, laras ekonomi dan laras sains
ASPEK FRASA
  • Laras tertentu dikenali melalui ungkapan frasanya.
  • Contohnya, frasa pukul telur hingga naik hanya terdapat dalam laras resipi dan frasa sajak kabur terdapat dalam laras sastera.
ASPEK AYAT
  • Binaan, susunan, dan panjang pendeknya ayat akan menjadikan laras berbeza-beza.
  • Contohnya, ayat yang panjang selalunya terdapat dalam laras undang-undang.

~ JENIS-JENIS LARAS BAHASA DAN CIRI-CIRINYA

  Laras Sains

Ciri- ciri
Contoh
  • Merupakan laras ilmiah.
  • Berbahasa moden
  • Bersifat formal dan menidakkan bahasa basahan.
  • Mempunyai sifat intelektual, saintifik, dan bersifat objektif serta berdasarkan kajian dan fakta.
  • Terdapat istilah pinjaman
  • Terdapat banyak penggunaan kata nama dan ragam ayat pasif
  • Dibahagikan kepada sub bidang, seperti laras fizik, kimia, biologi, dan teknologi.
JE ( Japanese Encephalitis )ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk culex. Virus ini menyerang system saraf pusat. Beberapa spesis culex yang dikenal sebagai vector kepada virus JE di Malaysia ialah culex trigeniortyehus, culex gelidus, dan culex vishnui.

Laras Ekonomi

Ciri-ciri
Contoh
  • Biasanya digunakan dalam dunia korporat, khususnya bidang perusahaan, perakaunan, perbankan, perniagaan, dan perdagangan
  • Berbentuk ilmiah tentang ekonomi
  • Mempunyai istilah teknikal ekonomi
  • Tidak mengutamakan struktur ayat
  • Melibatkan gaya bahasa yang formal
  • Maklumat yang disampaikan adalah jelas dan eksplisit
  • Fakta berdasarkan bukti dan statistik
Untung boleh didefinisikan sebagai pulangan kepada factor pengeluaran usahawan hasil daripada usahanya dalam bidang pengeluaran barang dan perkhidmatan. Untung terbahagi kepada dua jenis. Iaitu untung perakaunan dan untung ekonomi.

Laras Undang-Undang

Ciri-ciri
Contoh
  • Teks yang bersabit dengan perundangan yang mengandungi prinsip undang-undang tertentu dan berbentuk akta.
  • Terdapat istilah-istilah khusus yang kebanyakannya dipinjam daripada bahasa inggeris. Istilah-istilah tersebut diberikan tafsiran khusus dan spesifik merujuk kepada fasal dan klausa dalam sesuatu akta atau kanun tertentu 
  • Makna kosa kata berdasarkan interprestasi
  • Struktur ayat tidak diutamakan, tetapi kepersisan (ketepatan, kejituan) dan kejelasan dipentingkan
  • Bersifat objektif, terperinci, tepat dan padat
  • Binaan ayat adalah panjang
Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak besetuju dengan cadangan plaintif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan berkenaan.
 
Laras Agama

Ciri-ciri
Contoh
  • Memperkatakan isu-isu agama
  • Terdapat istilah pinjaman bahasa arab
  • Terdapat petikan al-Quran dan hadis
  • Terdapat tamsil ibarat atau kias ibarat untuk pengajaran
Selain berbuat baik dengan ibu bapa, kita juga dituntut supaya mengadakan hubungan dengan kaum kerabat atau keluarga kerana mereka mempunyai talian darah dan paling hampir dengan kita. Sikap saying-menyayangi, bantu-membantu, hormat-menghormati hendaklah sentiasa dipupuk. Sikap ini akan melahirkan sesebuah keluarga yang bahagia dan harmoni bertetapan dengan ungkapan ‘ Rumahku Syurgaku’.

Laras Sukan

Ciri-ciri
Contoh
  • Menyampaikan maklumat kegiatan sukan
  • Bahasa yang digunakan adalah ringkas, bersahaja dan jelas
  • Terdapat istilah aktiviti sukan 
  •  Kosa kata mudah difahami
Lionel Messi meledak jaringan ke-35 musim ini ketika membantu skuad Barcelona membelasah Getafe 6-1 di laman sendiri kelmarin. Kemenangan ini membolehkan mereka mengutip 12 mata mengatasi Atletico Madrid di puncak La Liga.

Laras Sastera

Ciri-ciri
Contoh
  • Terhasil daripada cetusan imaginasi dan pengalaman
  • Terdapat istilah khusus tentang sastera 
  •  Bersifat figurative (penyimpangan makna daripada bahasa biasa)
  • Mementingkan pemilihan diksi berkesan
  • Bernada puitis dan bersifat komunikatif (dapat berhubungan)
“Lin, rilekslah, ini peluang kau tau. Hariz akan jadi milik kau, “ cucuk Sabrina lagi dan turut duduk di sisi Elin dan tubuh mati Hariz. Memang dasyat kalau sesiapa mengenali perempuan yang puna sugar daddy kaya-raya ini. Cuma dia tidak tahu siapa Datuk atau Tan Sri atau Tan Seri atau Datuk Seri yang sudi melabur duit pada Sabrina.

Laras Resipi

Ciri-ciri
  • Menyampaikan maklumat tentang cara menyediakan sesuatu masakan 
  •  Menggunakan kosa kata yang mudah difahami
  • Menggunakan ayat yang ringkas
  • Tidak mementingkan ketepatan struktur ayat
  • Kandungannya terbahagi kepada dua aspek, iaitu: 
  1.  bahan dan sukatan yang diperlukan untuk menyediakan sesuatu makanan 
  2.  Cara menyediakan sesuatu makanan 
  •   Penyampaian maklumat biasanya disokong oleh gambar
contoh
Buah Melaka

Bahan
  •  ½ kg tepung pulut
  •  ½ cawan air
  • 3 helai daun pandan
  • Sedikit garam
  • ½ biji kelapa parut
  •  200 gram gula Melaka

Cara Membuat :
1.       Mesinkan daun pandan dengan air. Perah dan ambil airnya.
2.       Potong gula Melaka kecil-kecil
3.       Gaulkan air pandan dengan tepung pulut hingga rata ( jika kurang warna, tambah lagi pewarna hijau). Jadikan betul-betul kental.
4.       Leperkan tepung, masukkan gula, bulatkan dan rebus dalam air mendidih
5.       Apabila timbul, angkat dan gaul dengan kelapa parut yang telah dibubuh garam.
 
Laras Iklan

Ciri-ciri
  •  Merupakan laras bahasa perniagaan, iklan, tender dan sebagainya 
  •  Berbentuk pemberitahuan fakta atau pengisytiharaan
  •  Maklumat disampaikan dengan ringkas, tetapi terperinci
  • Ayat yang terbina adalah ringkas dan pendek
  • Banyak menggunakan ayat adjektif
  • Bahasa yang digunakan bersifat imaginative dan kretif
  • Menggunakan retorik pujukan untuk memujuk dan mempengaruhi pengguna supaya membeli produk yang dipasarkan 
  •  Menggunakan bahasa yang memikat untuk mengumpan pengguna supaya tidak bertangguh untuk membeli sesuatu barangan
  • Disokong pula oleh gambar, lukisan, grafik, ilustrasi dan sebagainya
  • Terdapat lima kaedah yang digunakan dalam laras iklan iaitu memujuk, mengumpan, perbandingan,pengisytiharaan dan suruhan
Contoh kaedah memujuk
Produk H direka khusus untuk anda yang ingin memiliki tubuh yang langsing

Contoh kaedah mengumpan
Tawaran istimewa. Beli dua percuma satu.

Contoh perbandingan
Sabun mandi S lebih harum berbanding jenama yang lain.

Contoh kaedah pengisytiharaan
Minyak pelincir yang unggul, melancarkan lagi enjin anda.

Contoh kaedah suruhan
Dapatkanlah sabun Y dan nikmatilah kesegarannya.

RUMUSAN
  •  Laras bahasa amat penting. Jumlah laras sesuatu bahasa mencerminkan keadaan bahasa itu dan dapat menjadi ukuran maju mundurnya. Sebagai contoh, perbandingan jumlah laras bahasa melayu sebelum dan sesudah merdeka dapat membuktikan hakikat ini, iaitu bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang amat pesat. 
  •  Bidang pengungkapan dalam bahasa Melayu telah bertambah dengan banyaknya, meliputi aspek-aspek yang dahulunya diperkatakan dalam bahasa-bahasa lain, khususnya dalam bahasa inggeris.
  •  Perubahan ini berlaku apabila bahasa melayu menjadi bahasa rasmi Negara dan bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi.
  • Penutur-penutur bahasa Melayu hendaklah mengenali laras-laras utama bahasa Melayu. Lebih penting, mereka hendaklah tahu membezakan antara laras tersebut, sedar akan ciri-ciri utama laras-laras tertentu, terutamanya dalam factor perbezaan antara laras formal dengan laras tidak formal
  • Amat penting bagi mereka yang amat visible dari segi penggunaan bahasa seperti para pemimpin dan mereka yang terlibat dalam saluran media elektronik. Penggunaan bahasa golongan ini sentiasa dilihat dan didengar oleh orang dan kerap kali menjadi teladan.
  • Sebahagian daripada laras ini merupakan laras baharu, maka laras-laras itu perlu dipelajari sebagai satu kemahiran.
  •  Laras-laras Melayu moden, terutama laras formal dan rasmi, merupakan laras-laras khusus dan tidak menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
  •  Bahasa lazim yang digunakan seharian ialah bahasa basahan yang bersifat tidak formal.

1 comment: